Sidang Redaksi Roketkini Menjawab tuduhan UMNO – Alahai, Tengku Adnan…
Sama ada mahu menegakkan benang yang basah atau cuma mahu membodek boss UMNO, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pun tak ketinggalan dalam sandiwara menghentam DAP. Tak ada apa yang baru dalam kutukannya melainkan mengulangi herdik lapok dan basi. Agaknya pemimpin UMNO ini ingat minda orang Melayu masih lapok dan basi. Mungkin ramai juga ahli UMNO yang meloya dengan skrip perkauman ala 1960-an ini. Segala tuduhan Tengku Adnan ini dilaporkan dengan oleh organ parti UMNO yang bernama Utusan Malaysia pada 25 Mei 2011
Tuduhan: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, siapalah DAP yang mahu memperbodohkan orang Melayu sedangkan realitinya rakyat sendiri sedar bahawa parti tersebut hanya bersandiwara untuk mendapatkan kuasa.
Jawapan: Siapa yang memperbodohkan siapa? Orang Melayu semakin sedar realiti semasa bahawa UMNO semakin terdesak untuk mengekalkan kuasa. Kebanyakan pemimpin UMNO takut untuk berubah kerana ubah bererti pentadbiran telus dan adil manakala penyelewengan dan salah guna kuasa dapat dikurangkan kalau tak dihapuskan pun – ini juga bererti segala perubahan positif itu akan menutup peluang kebanyakan pemimpin UMNO dan kroni mereka mengaut keuntungan untuk diri dan keluarga mereka sahaja atas nama “Melayu”.
Tuduhan: Katanya, rancangan itu juga merupakan bukti bahawa DAP hanya menggunakan orang Melayu sebagai batu loncatan bagi meraih kedudukan semata-mata.
Jawapan: Siapa yang sebenarnya menggunakan orang Melayu sebagai batu loncatan untuk mendapat keududukan? Bukankah para pemimpin UMNO yang hidup senang-lenang sedangkan masih ramai Melayu miskin bukan sahaja di luar bandar tetapi juga di dalam bandar?
Tuduhan: “Inilah DAP yang tidak tahu menghargai apatah lagi untuk menghormati kebersamaan dan peranan yang dimainkan oleh semua kaum di negara ini malah sebaliknya mereka berbuat baik dengan orang Melayu kerana ada agenda tersembunyi”.
Jawapan: Bukan sahaja DAP menghormati kebersamaan dan peranan semua kaum, malah DAP mengamalkannya dan bukan cakap kosong. DAP bersama PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat mengamalkan pentadbiran cekap, akauntabel dan telus, dan ini dibuktikan di semua pentadbiran negeri-negeri Pakatan. Siapa yang ada agenda tersembunyi? Siapa yang menjerit 1Malaysia dan 1Melayu 1Bumiputera dalam nada dan nafas yang sama? Siapa yang memberi amaran kepada MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain parti komponen BN supaya jangan pertikai amalan dan kepimpinan UMNO?
Tuduhan: “DAP ini parti yang akan gunakan apa sahaja cara asalkan dapat mencapai matlamat mereka untuk mendapatkan kuasa.”
Jawapan: Para pemimpin dari parti mana yang menggunakan apa sahaja cara asalkan dapat mengekalkan kuasa termasuk memfitnah kononnya ada usaha menubuhkan negara Kristian, kononnya mahu merampas hak Melayu? Yang terbukti mmebuat tuduhan-tuduhan ini adalah para pemimpin UMNO.
Tuduhan: DAP tidak akan mengiktiraf orang Melayu dan meletakkannya di tempat yang tinggi kecuali mempunyai agenda tersembunyi.
Jawapan: Undang-undang tertinggi di Malaysia adalah Perlembagaan Persekutuan. DAP dan Pakatan Rakyat menjunjung Perlembagaan. Segala apa yang hak kepada orang Melayu dan kaum-kaum lain diberikan sepenuhnya oleh pentadbiran negeri-negeri Pakatan. Sebagai contoh, di Pulau Pinang, nasib dan kebajikan orang Melayu dijaga dengan baik tanpa menafikan hak-hak kaum lain. Guru-guru agama Islam, para huffaz, para warga tua dan mereka yang memerlukan sentiasa dibela. Pulau Pinang yang mempunyai dua majlis perbandaran MPPP dan MPSP masing-masing diketuai dua wanita Melayu Islam, yang pertama di Malaysia. Di mana bukti kononnya orang Melayu tidak diiktiraf oleh DAP? Tak kan cara UMNO bagi t-shirt percuma kepada para belia dalam kursus-kursus mereka sudah dianggap mengiktiraf orang Melayu…
Tuduhan: DAP sebenarnya mahu orang Melayu menjadi ‘pak turut’ kepada mereka yang boleh dicucuk hidung, ‘disuruh angguk mereka angguk, suruh geleng mereka geleng’ seperti yang telah berlaku di Perak sewaktu diperintah pembangkang dan juga di Selangor ketika ini.
Jawapan: Ini kes kronik mata rabun seorang pemimpin UMNO, ‘kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak’. Tanyalah orang Melayu, Cina, India, Orang Asli atau sesiapa sahaja di Selangor dan Perak; bantuan dan pertolongan yang disumbangkan oleh kerajaan negeri Pakatan, kalau pun tak terlalu hebat, jauh lebih baik hari ini berbanding zaman kroni UMNO-BN sahaja yang sapu bersih dahulu. Malah banyak lagi sumbangan yang mampu diberikan oleh kerajaan negeri Pakatan jika Kerajaan Pusat tidak menyekat bantuan. Malah Kerajaan Pusat masih berdegil enggan memberi hak royalti minyak yang menjadi hak sah negeri Kelantan. Mengapa masih ramai Melayu miskin di negeri-negeri di bawah pemerintahan UMNO? Apakah kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak sudah kaya-raya dan hidup mewah makmur di bawah pemerintahan BN? Jadi siapa yang mahu Melayu jadi pak turut yang boleh dicucuk hidung? Siapa yang tahu ada kura-kura dalam perahu tapi pura-pura tak tahu? Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
Tuduhan: Tujuan DAP adalah untuk menimbulkan kekeliruan kepada rakyat, menjadikan masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai bangsa merasa tercabar serta marah, berlaku prasangka antara kaum sehingga keamanan negara tidak terjamin.
Jawapan: Siapa yang memfitnah angkara menubuhkan negara Kristian? Siapa yang mengadu domba kaum-kaum di Malaysia? Siapa yang sering memberi amaran kepada masyarakat pelbagai kaum supaya jangan menegur atau mempertikaikan amalan buruk UMNO? Siapa yang memfitnah Anwar Ibrahim? Siapa yang memfitnah Tok Guru Nik Aziz? Siapa yang memfitnah Lim Guan Eng? Siapa yang menggelar kaum India dan Cina sebagi pendatang? Siapa yang mencetuskan kekeliruan sehingga keamanan negara tidak terjamin?
Tuduhan: Tetapi strategi itu ternyata tidak membuahkan hasil, jadi mereka (DAP) kini merencanakan alternatif lain dengan menjadikan orang Melayu pula calon dalam parti mereka.
Jawapan: Siapa yang sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri? Sejak bila parti politik tidak boleh menjadikan orang Melayu sebagai calon? Apakah itu hak UMNO semata-mata untuk meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya? DAP sebagai parti pelbagai kaum telah dan akan terus meletakkan calon-calon Melayu dalam pilihan raya, sebagaimana yang dilakukan sejak penubuhannya 45 tahun lalu. Malah DAP sentiasa meletakkan calon Melayu sepanjang 10 pilihan raya yang disertainya dan akan terus berbuat demikian selaras dengan prinsipnya sebagai wadah pelbagai kaum. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment